Meminta tapak web untuk tidak menjejak anda

Beberapa tapak web menjejak aktiviti pelayaran anda apabila ia menyediakan anda kandungan, yang membolehkan tapak web tersebut memperibadikan kandungan yang disediakan untuk anda. Safari boleh meminta tapak dan pembekal kandungan pihak ketiganya (termasuk pengiklan) untuk tidak menjejak anda.

Dengan seting ini didayakan, setiap kali Safari mengambil kandungan dari tapak web, Safari menambah permintaan untuk tidak menjejak anda, namun adalah menjadi pilihan tapak web untuk memenuhi permintaan ini.

Sekat kuki dan data tapak web lain

Tapak web sering menyimpan kuki dan data lain pada peranti anda. Data ini mungkin termasuk maklumat yang telah anda berikan, seperti nama, alamat e-mel dan keutamaan anda. Data ini membantu tapak web mengenal pasti anda apabila anda kembali agar tapak boleh menyediakan perkhidmatan kepada anda dan memaparkan maklumat yang mungkin anda minati.

Secara lalai, Safari menerima kuki dan data tapak web hanya daripada tapak web yang anda lawat. Ini membantu menghalang pengiklan tertentu daripada menyimpan data pada peranti anda. Anda boleh menukar keutamaan anda agar Safari sentiasa menerima atau sentiasa menyekat kuki dan data tapak web yang lain.

Amaran Tapak Web Penipuan

Apabila Amaran Tapak Web Penipuan didayakan, Safari akan memaparkan amaran jika tapak yang anda lawati disyaki tapak pemancingan data (phishing). Phishing ialah percubaan mencuri maklumat peribadi anda secara penipuan, seperti nama pengguna, kata laluan dan maklumat akaun yang lain. Tapak web berbentuk penipuan menyamar sebagai tapak yang sah, seperti bank, institusi kewangan atau pembekal khidmat e-mel.

Pelayaran Peribadi

Apabila Pelayaran Peribadi didayakan, Safari tidak mengingati halaman yang anda lawati, maklumat Isi Auto dan tab terbuka anda tidak disimpan dalam iCloud. Safari juga akan meminta tapak dan pembekal kandungan pihak ketiga mereka (termasuk pengiklan) untuk tidak menjejak anda. Tapak web tidak boleh mengubah suai maklumat yang disimpan pada peranti anda, jadi perkhidmatan yang biasanya tersedia di tapak sedemikian mungkin berfungsi secara berbeza sehingga anda menyahaktifkan Pelayaran Peribadi.

Nota: Semasa Pelayaran Peribadi didayakan, antara muka pengguna Safari kelihatan gelap berbanding cerah.

Cadangan Spotlight

Apabila anda menggunakan Cadangan Spotlight dalam Safari, pertanyaan carian anda, Cadangan Spotlight yang anda pilih dan data penggunaan yang berkaitan akan dihantar kepada Apple. Jika anda telah mengaktifkan Perkhidmatan Lokasi pada peranti anda, apabila anda membuat pertanyaan carian kepada Spotlight, lokasi peranti anda pada masa itu akan dihantar kepada Apple. Lokasi, pertanyaan carian dan maklumat penggunaan yang dihantar kepada Apple akan digunakan oleh Apple hanya untuk menjadikan Cadangan Spotlight lebih berkaitan dan bagi meningkatkan produk dan perkhidmatan Apple.

Jika anda tidak mahu pertanyaan carian Safari dan data penggunaan Cadangan Spotlight anda dihantar kepada Apple, anda boleh menukar seting privasi anda untuk Safari pada bila-bila masa. Untuk berbuat demikian, buka seting, ketik Safari, skrol ke bawah ke Privasi & Keselamatan dan pilih pilihan yang anda ingin mendayakan atau menyahdayakan.

Anda boleh menyahaktifkan Perkhidmatan Lokasi untuk Cadangan Spotlight. Untuk berbuat demikian, buka Seting, ketik Privasi, ketik Perkhidmatan Lokasi, ketik Perkhidmatan Sistem dan luncurkan suis Cadangan Spotlight kepada “mati”. Jika anda menyahaktifkan Perkhidmatan Lokasi pada peranti anda, lokasi tepat anda tidak akan dihantar kepada Apple. Untuk menyampaikan cadangan carian yang berkaitan, Apple mungkin menggunakan alamat IP sambungan Internet anda untuk menganggarkan lokasi anda dengan memadankannya dengan rantau geografi.

Maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan menurut Dasar Privasi Apple, yang boleh ditemui di www.apple.com/privacy.